Sunday 15 April 2007

Kursus Pembinaan Insan Terpelajar Kelas Pertama???

Kursus siri pertama yang diletakkan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi ini telah dibuat pada 31 Mac hingga 2 April yang lalu. Tarikh tersebut yang pada asalnya merupakan tarikh asal untuk diadakan Bazar ASEAN di peringkat DMAK, telah diganti dengan program yang datang secara tiba-tiba dengan nama Kursus Pembinaan Insan Terpelajar Kelas Pertama. Kursus yang bermatlamat antaranya untuk memperkasakan potensi diri peserta sebagai pemimpin pada masa akan datang, menanamkan semangat patriotisme kepada negara di kalangan peserta serta memupuk kesedaran dikalangan generasi muda agar bersedia untuk membangunkan negara dan bangsa mengikut acuan Malaysia.

Pengisi-pengisi terdiri dari tenaga pengajar dan pentadbir IPT tempatan. Manakala peserta terdiri daripada pelajar-pelajar mesir yang baru sampai. Siapa yang tak tertarik bila disebut Insan Terpelajar Kelas Pertama, namun adakah insan terpelajar kelas pertama yang dimaksudkan itu adalah pelajar yang mempunyai jatidiri yang merdeka serta mempunyai pemikiran yang waras dalam menilai setiap aspek masalah yang berlaku.

Program yang menerapkan unsur percampuran antara lelaki dan perempuan ini, seolah-olah dikatakan cuba memecahkan benteng batas pergaulan perempuan dan lelaki yang berada di Mesir ini, mencampur adukkan lelaki dan perempuan dalam LDK yang dilaksanakan. Menurut laporan, sampai satu tahap seorang perempuan dikehendaki berhadapan dengan dua orang lelaki dan membuat beberapa aktiviti yang telah diarahkan.

Sejauhmana program ini berjaya membentuk insan terpelajar kelas pertama sangat mencurigakan. Rata-rata peserta yang pulang daripada kursus ini kelihatan seolah-olah ‘blur’ dan pening dengan pengisian yang diberikan.

Cuba kita nilai antara pengisian LDK yang dibentang dalam program tersebut :

LDK 3, Pendapat mengenai Cerita.

Asmah bercinta dengan Hashim. Suatu hari berlaku gempa bumi. Asmah dan Hashim terpisah. Asmah berada di pulau lain dan hashim berada di pulau lain yang jauh. Asmah sangat merindui Hashim, mengambil keputusan untuk mencari dan berjumpa Hashim. Asmah meminta tolong jiran-jiran, tetapi mereka tak mahu menolong. Asmah berjumpa dengan Chandran dan meminta tolong Chandran. Chandran bersetuju menolong Asmah dengan syarat Asmah mesti memberi upah dan bermalam dengan Chandran. Setelah berfikir panjang, akhirnya Asmah bersetuju. Chandran membawa Asmah menemui Hashim. Apabila Asmah bertemu Hashim, mereka melepas rindu masing-masing. Asmah menceritakan semua perkara yang berlaku. Hakim merasa sangat marah dan memutuskan hubungan mereka dengan secara serta merta. Asmah merasa sangat sedih dan terus bersedih akhirnya dia menghidap penyakit kronik dan meninggal dunia.

Persoalan : Siapakah yang bersalah?

Ini adalah diantara pengisian yang diberikan dalam kursus tersebut. Kalau kita nilai dengan akal yang waras, apakah yang dapat membentuk Insan Terpelajar Kelas Pertama dengan menceritakan kisah keterlanjuran seorang perempuan yang sanggup menyerahkan maruah diri semata-mata kerana seorang lelaki. Adakah pemikiran sebegini yang cuba diterapkan dikalangan mahasiswa. Seandainya pengisian sebegini yang diberikan, bagaimana kah kita dapat untuk membentuk kepimpinan dengan pengisian yang sebegini rupa. Dengan percampuran diantara lelaki dan perempuan yang terlampau, dan pengisian yang sebegini rupa, persoalan yang saya timbulkan semula kepada semua untuk difikirkan bersama.

Rupa-rupanya, tatkala semua orang sibuk membuat persiapan ber’bazar’, ada perancangan dari pihak-pihak tertentu untuk menyuntik pemikiran mahasiswa dengan perkara-perkara sebegini rupa. Apakah bazar itu satu cara untuk mengalih perhatian semua orang daripada perkara ini?sama-sama kita fikirkan bersama. ..pastikan diri anda mahupun rakan-rakan anda tidak dipengaruhi oleh pemikiran yang tidak elok ini, agar kebebasan pemikiran dan jatidiri kita tidak mudah dirobek atau dipengaruhi oleh pihak-pihak yang tidak sepatutnya…

Sekian sahaja laporan edisi siasat pada kali ini, bertemu kembali untuk kupasan isu-isu yang lebih menarik pada masa akan datang….

Majulah bloggers untuk negara…J